Selamat datang!
Assalamualaikum wbt
Minggu ini dalam CINTA RABBku
Alhamdulillah… minggu ini dalam CINTANya.
Terasa sangat indah dalam pelukan kasih dan sayang Allah.
Aku di sini cuba meluas lebarkan sayap cintaku kepada mereka yang aku sangat sayangi. Terkadang bila difikir sayang itu sangat unik dan misteri.
Kembali meniti bait-bait cinta di Bangalore setelah 2 minggu bercuti di Malaysia.
Ada insan sering mengatakan, “Kema, jangan manjakan sangat orang disekelilingmu.” Namun bagiku… itulah lebihnya cintaku. Bukan berbangga pada diri, namun itulah akur pada sendiri. Mungkin dengan cinta ini Dia cinta padaku. Kerana cinta kepada hamba yang menyintaiNya, aku terasa dibalas cintaNya walaupun seakan-akan cinta insanku tidak terbalas sepenuhnya. Cukup saja cinta Allah menjadi peneman setia.
Aku menjadi kupu-kupu rimba. Terbang melebarkan sayap cinta. Saat melebarkan sayap cinta insan, aku diketuk dengan pelbagai dugaan. Menyintai manusia itu indah, namun pedihnya kita terpaksa telan jua. Satu persatu Dia tunjukkan. Oh Allah, Alhamdulillah.
Saat sedih bertamu, Engkau datang membuka kasihMu, menghulur cintaMu buat diriku.
Makin lama, terasa makin aku dilamun cintaMu. Makin teguh aku pada jalanMu.
Terima kasih cintaku, Allah yang satu…
# Buat cinta hatiku di Malaysia, Bangalore dan Dharwad… cinta ini utuh untukmu. Tidak pernah berkurang walau sedikit pun. Kuatkan dirimu dalam jalan dakwah dan tarbiyah ini. Sentiasa diri ini mendoakan antunna di mana sahaja berada.
Bicara tentang Kehidupan Seorang Daie
Daie juga Manusia Biasa
Hidup seorang daie memang tidak kering dengan dugaan yang datang tanpa henti mengunjungi setiap pintu yang ada di hati. Daie akan diuji oleh setiap apa yang diperkatakan dan disampaikan. Tidak pernah terlepas pun dari ujian itu dalam realiti kehidupannya. Daie juga manusia dan pasti dia bukan seorang yang sempurna. Di mata insan lain, mungkin dia dianggap sempurna. Itulah tanggapan yang perlu dia hadapi.
Akhlaknya menunjukkan keperibadiannya, ilmunya menggambarkan ketepatan hujahnya, dan kebolehannya bertutur dilihat dia seorang yang yakin dan teguh dalam katanya. Namun dia juga insan. Dia juga punya murabbi yang mendidiknya. Daie juga ditarbiyah oleh Allah sama seperti insan lain. Terkadang dia juga diuji hingga dia terduduk menangis. Tangisannya sangat ghaib di pandangan orang lain, namun begitu jelas pada pandangan Allah. Itulah daie, segala yang dia rasa diluahkan kepada Penciptanya.
Bukan menidakkan kebolehan daie, tetapi dia juga insan yang sedang dibina untuk membina orang lain. Dibina melalui cabaran dakwahnya secara tidak langsung. Dalam didikan murabbi dan persekitaran, dia hidup bernafas. Walau peluh berjurai, walau tangan menggeletar, walau fikiran membejatkan, walau dia juga dihentam berkali-kali, dia cuba untuk bangkit lagi. Kerana apa? Kerana kesedaran hakiki terhadap wajibnya seruan Rasulullah SAW itu dituruti selagimana ustaziatul alam tidak dicapai lagi.
Daie itu insan biasa. Namun…
Dzatiyyahnya perlu kuat! Biahnya perlu solehah! Hatinya perlu kental! Jiwanya perlu berani! Akhlaknya perlu mantap! Ilmunya mesti luas! Amalnya wajib ikhlas!
Antara kriteria-kriteria yang perlu dilengkapi. Bukan semata-mata untuk diri malah untuk Islam dan ummahnya di sini.
Sebaik-baik Daie
Dialah sebaik-baik daie. Dialah juga sebaik-baik insan yang perlu dicontohi. Dialah Rasulullah SAW yang tinggi budi pekerti. Betapa keikhlasannya sungguh menyentuh naluri, tutur katanya bisa mencairkan kafirnya manusia, air wajahnya mampu membuatkan sahabat senyum sendiri, serta peribadinya mampu menggetar hati manusia kufur yang ego dengan dunianya yang tersendiri. Kalau ingin dibicarakan tentang baginda… pasti begitu banyak qudwah yang dapat diikuti.
Terlalu ramai yang cintakan baginda! Terlalu ramai yang ingin menjadikan baginda contoh akhlak terpuji! Terlalu ramai yang memperkatakan kegemilangan sirahnya. Alhamdulillah wa syukurilah kerana ramai yang cinta kepada baginda. Namun, seberapa ramai yang sanggup menyahut seruan dakwah baginda? Seruan yang wajib ke atas seluruh umat Islam selagi mana Islam tidak terteggak di atas muka bumi ini. Dan juga seberapa ramai yang sanggup berjalan di kampungnya sendiri menyampaikan kefahaman tentang keindahan Islam yang dianuti? Tanya diri, tanya iman sendiri!
Cabaran Para Daie Masa Kini
Wahai para daie! Memang sukar untuk memenuhi kesempurnaan seperti baginda Rasulullah SAW. Namun sedaya upayalah dirimu menjadikan baginda sebagai contoh terpuji. Memang kita punya kelemahan diri, namun sedarilah kita juga punya potensi diri. Kita punya ‘LOGAM’ kita tersendiri. Mungkin kita masih mencari di mana kekuatan kita ini. Yakinlah pada diri kalian! Lihat sahaja Umar Al-Khattab! Seorang yang dahulu begitu kuat menentang Islam, namun setelah Islamnya beliau, dia mampu menyebar dan meluaskan kawasan takluk Islam dengan begitu hebat sekali.
Wahai daie! Serlahkan potensi diri. Gilapkan segala sifat positif anda. Kikislah segala karat jahiliyah yang ada. Jadilah daie yang proaktif, yang namanya disebut oleh penghuni langit kerana kehebatannya melakar megah dalam lipatan sejarah kegemilangan Islam nanti. Memang sukar kerana setiap langkah kita akan diuji. Ujian yang berjaya dilepasi membuktikan daie melangkah setapak lagi.
“Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi?”
(Al-Ankaabut; ayat 2)
Sahut cabaran ini wahai daie… dan saya yakin! Anda mampu. Saya juga tahu saya akan diuji dengan apa yang saya nukilkan di sini.
Masa itu Rawatan
Masa,
Anugerah Pencipta yang bernilai
diibaratkan pedang, juga kehidupan
tajam membunuh tanpa disedari
terus bergerak tanpa perhentian
tidak pernah menoleh memberi ruang dan peluang.
Masa itu rawatan,
buat jiwa dan juga keyakinan
memberi peluang untuk diri tenang
menanam redha dalam doa harapan
dari Ilahi pinta dipanjatkan
agar diri terus berjuang.
Satu penipuan
jika dikatakan hati terlampau tenang,
terkadang kerisauan pasti datang
hati insan sudah tidak keruan
mula membujuk berkata,
masa itu rawatan.
mengharap sungguh belas kasihan
agar diberi redha dalam kehidupan
itulah jiwa insan berjuang
hanya masa sebagai rawatan.
Ujian adalah Jalan Tarbiyyah Allah
Alhamdulillah…
Diuji dan terus diuji. Lagi-lagi dengan apa yang telah disampaikan. Pengajaran buat diri, selalu perbaiki diri. Memang kita tidak akan pernah untuk sempurna. Cukuplah matlamat untuk menjadikan diri begitu sempurna di hadapan Allah. Ujian diturunkan dalam pelbagai bentuk. Mungkin dari segi study,dakwah, pergaulan, pemahaman, dan pelbagai lagi. Ujian KEIKHLASAN lah yang paling kuat dirasai. Sejauh mana hati ikhlas belajar perubatan kerana Allah? Sejauh mana juga keikhlasan hati memikul dakwah dan tarbiyyah kerana Allah? Sejauh mana juga keikhlasan hati menjalinkan silaturrahim sesama umat Islam walaupun dari keadaan yang berbeza? Ya! Semua itu ujian bukan.
Hari ini, diberi peluang untuk telefon kak long di Malaysia. Sangat suka mendengar kisahnya dan pengalamannya sebagai doktor. Jelas keinginan dan cita-cita untuk menjadi doktor itu telah menjadi kenyataan. Keikhlasannya dalam memberi sebanyak mungkin sebagai seorang doktor. Sangat bermotivasi apabila berborak dengan beliau, Dr. Raihan. Bangga mempunyai kakak sebegitu. Tadi, sempat lagi beliau berkongsi,
“Baru balik dari usrah tadi. Kak long bagi pengisian kat kawan-kawan doktor kat surau hospital. Cuba nak tarik balik doktor-doktor yang dulu pernah menyertai aktiviti usrah di universiti masing-masing dulu. InsyaAllah kak long akan cuba untuk terus buat setiap minggu.”
Sangat bermotivasi. Jzkk kak long. Refleks kembali pada diri. Sejauh mana keikhlasan dalam diri. Kerana dengan keikhlasan yang sebenar, Allah akan mudahkan jalan yang bakal ditempuhi itu.
Pesanan buat diri:
1) Sentiasa perbaharui niat
2) Ikhlaskan hati seikhlasnya
3) Orang yang penat adalah orang yang memaksimakan masa yang dia ada
4) Sentiasalah aim untuk capai redha Allah
5) Buat sehabis baik.
dan
6) Jalinkan hubungan silaturrahim dengan sebaik-baiknya.
Amin.
Untuk tulisan dari GENTA RASA oleh Ust Pahrol Mohd Juoi, juga terima kasih… Banyak membuatkan diri ini belajar dan cuba berfikiran positif.
Kerana DAKWAH, TARBIYYAH, STUDY itu tidaklah mudah, namun semua itu bawah susunan Allah. Mintalah dariNya, usaha dan terus usaha.
ALL IS WELL…
insyaAllah.
<noktah>
Tinta Pejuang: Usrah ‘online’
Assalamualaikum wbt…
Lama sungguh menyepi dan nampaknya sudah bersawang blog ni. Alhamdulillah… masih akan menulis selagi tangan ini lembut menekan ‘keyboard’ komputer, selagi idea dapat dilontarkan. Terima kasih Allah.
Tajuk post kali ni bukan menunjukkan keluhan, namun inilah perjuangan. Online… sungguh sebati dengan keadaan. Mengikut keadaanlah, Allah mengizinkan untuk insan ini meneruskan tarbiyahnya melalui online. Inilah perjuangan! Ana tekankan lagi, inilah perjuangan! Terkadang rasa begitu iri hati dengan mereka yang mempunyai murabbi di depan mata. Secara zahirnya, beliau mampu memberi bahu untuk bersandar di kala terjatuh, memberi senyuman di kala bersedih, malah memberi usapan semangat di kala imtihan menjelang. Ini bukan tanda kekecewaan, ana ingatkan!
Masing-masing mempunyai keistimewaan. Terjun dalam bidang ini sebagai hingusan terkadang rasa begitu ‘kering.’ Namun, itu juga bukan alasan. Kerana yang penting adalah tarbiyah dzatiyah. Memang ini adalah cabaran besar. Sangat besar! Mungkin kadang-kadang rasa inginkan seperti apa yang orang lain dapat. Tapi, itulah hadiah sebenar dari Allah. Menguji siapa antara kita yang lebih bersyukur. Sejauh mana kebergantungan kita pada Allah swt.
Tanpa itu semua, sebenarnya lebih menilai betapa kita ini menghargai apa yang kita dapat dan betapa mujahadah kita dari segi mencarinya. Inilah ujian! Ujian yang mengangkat martabat seseorang hambaNya. Yakin dan percaya! Allah itu sentiasa ada.
“Demi sesungguhnya Kami menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan lapar (dengan berlakunya) kekurangan harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar.” ( Al-Baqarah, ayat 155)
Di sini, pentingnya tanggungjawab akhawat bersama. Membantu di saat perlu. Dustalah kalau ana katakan ana sendiri tidak pernah rasa kering, sentiasa rasa bersemangat! Kadang-kadang, ana sendiri perlukan kata-kata dorongan dari seseorang, usapan pemberi semangat, kata-kata penenang untuk terus berjuang, dan pembantu di saat buntu membahagikan masa… Terasa inilah cabarannya.
Semoga cabaran ini mematangkan. Mematangkan jiwa dan semangat. Walaupun online, tapi yakin dan percaya bahawa Allah tetap menjadi Pentarbiyah yang paling baik untuk hambaNya.
Inilah ketetapan Allah, bersemangatlah duhai hati!Teruskan sujud kemerdekaanmu! Bacalah dari Al-Quran tentang kesabaran Nabi-nabi Allah. Ambillah iktibar dari kisah pejuang Islam dulu dan kini…Semoga hati terus thabat dan kuat! Jangan jadikan penghapus semangat, namun jadikan ini cabaran!
Mungkin ini yang menjadikan engkau,
tabah,
disiplin,
kuat,
bersabar,
dan
Rabbuna yusahhil!
buat akhawati yang disayangi… gapailah tangan ini saat ia ingin tergelincir. dan ketahuilah, kita memang saling memerlukan kerana kita hanya punya kita sahaja di sini!
bukan keluhan, namun semangat untuk terus bangkit!
wardahusna-11/9/12
Ramadhan Kareem
memang inilah yang aku tunggu,
inilah saatnya…
saat untuk membina diri dengan tarbiyyah!
tapi aku tahu, ini sunatullah… dugaan ini sebagai wanita.
aku ingin bersama housemates bersama ke surau untuk solat terawih, solat subuh jemaah.
aku di rumah seorang diri!
sedih, tapi inilah sunatullah yang menyatakan aku perempuan.
carilah ibadah lain untuk Allah.
Allahumma Balighna Ramadhan
Semua cerita dan ‘share’ banyak benda di FB…
Semua ceritera Ramadhan.
Dah hampir sangatkan?
Dah sedia ke belum ni, ukhti? Cepat-cepat buat persediaan! Apa yang ukhti telah janji pada diri dan sahabat-sahabat?
“Ya Allah, sampaikan aku kepada Ramadhan…” Sangat menarik harapan ini! Namun, sejauh mana kita cuba buat persediaan ke arahnya! Cuba soalkan pada diri… bukan minta jawapan, namun carilah penyelesaian yang sepatutnya.
JOM berusaha bersama-sama… Maksimakan amal mulai sekarang! Saat ini ada lagi 37 hari menuju Ramadhan! Mungkin ‘putus’ seketika disebabkan sakit. Namun, ini bukan alasan…
YOSH!!! JOM berusaha! Mantapkan diri… ini hanya ujian untuk hambaNya.
Berusaha untuk bulan yang mulia…
‘tick’ for mutabaah amal semaksima mungkin!
Sesungguhnya keindahan beribadat untuk Allah adalah dapat dirasai bagi orang yang berusaha melakukannya!
Ayuh bergerak sekarang… ^^







