Maruahmu Tanda Mulianya Islam

Sabda Nabi s.a.w maksudnya : “Jika zina dan riba sudah muncul di suatu qaryah (negeri) bererti mereka sudah menghalalkan diri mereka untuk diseksa oleh Allah s.w.t.” (HR Al-Hakim)

Astaghfirullah hal azim. Segala yang tercatat pada hadis itu sedang berlaku di depan mata kita.

Pengalaman beberapa minggu di dewan bersalin banyak membuka mata saya sebagai pegawai perubatan siswazah yang baru sahaja bertukar posting ke sana. Setiap hari menerima pesakit yang datang untuk bersalin tetapi apabila selesai mengambil kes secara terperinci, hampir setiap hari akan ada kes PMC (pre marital conception). Luluh kerana kecewa ibarat sudah menjadi ‘trend’ terbaru dalam masyarakat kita.

Sebagai doktor pelatih, mungkin pengalaman yang saya temui hanyalah secebis kecil sahaja. Namun saya percaya jika ditanya kepada senior-senior doktor ataupun rakan setugas doktor yang lain, masalah ini makin meruncing seiring dengan peredaran zaman. Hebatnya negara Islam kita jika yang diwar-warkan ialah mengenai penciptaan teknologi yang pesat membangun, namun sangat murka dan menjijikan jika masalah anak haram ini yang menjadi buah mulut dalam kalangan masyarakat kita hari ini.

Di mana salahnya pendidikan dan kesedaran  yang diberikan? Adakah di peringkat ibu bapa, masyarakat ataupun dari individu itu sendiri. Untuk menjawab persoalan ini, tidak semudah yang disangka kerana pada hemat saya, setiap peringkat itu ada lompang dan cacatnya. Segala pembaikian perlu berlaku di setiap peringkat agar cacat cela dapat dikurangkan seterusnya mencegah terus masalah ini dari berlaku.

Sebelum memperincikannya, ingin saya mengajak semua agar kita membetulkan niat kita dan bukannya saling menyalahkan antara satu sama lain. Sudah pasti usaha murni yang dilakukan ada saham padanya di akhirat kelak kerana masalah ini adalah isu besar ummah hari ini.

Kepekaan masyarakat

Hari ini, keprihatinan badan-badan NGO dan juga pihak-pihak berwajib terhadap masalah ini sewajarnya dipuji dan dihargai. Mereka bertungkus-lumus menganjurkan kempen-kempen pencegahan dan pendidikan di universiti-universiti, pelbagai risalah kesedaran telah diedarkan bukan sahaja di tempat membeli belah, malah di taman-taman rekreasi dan dari rumah ke rumah. Selain itu, ada yang sanggup mengorbankan masa untuk bersama-sama dengan pihak berwajib menggembleng tenaga mencegah aktiviti-aktiviti sumbang yang menular secara langsung mahupun tidak langsung.

Namun, masih ada segelintir pihak ibarat parasit yang suka mencari keuntungan dalam kelekaan masyarakat. Mereka galak dengan penganjuran konsert-konsert liar, penggunaan model yang seksi dalam pengiklanan produk dan juga penerbitan filem dan drama yang berunsurkan hal zina seolah-olah ia adalah perkara biasa yang berlaku dalam masyarakat kita. Suka saya tekankan sekeras-kerasnya, hapuskan konsert-konsert liar, filem, drama dan iklan yang tidak bertamadun ini yang mana secara tidak langsung membuka luas medan aktiviti haram ini.

poster wanita1

 

Tanggungjawab ibu bapa

Baru-baru ini saya ada mengendalikan satu kes seorang gadis remaja yang hidup dalam penipuan terhadap ibunya selama hampir 8 bulan dengan menyembunyikan kandungannya sehinggalah hal itu terbongkar pada hari dia melahirkan anaknya akibat turun darah yang banyak sehingga terpaksa dihantarkan ke hospital untuk menerima rawatan. Agaknya kenapa hal ini boleh berlaku sedangkan selama mengandungnya itu dia tinggal bersama-sama ibunya?

Salah satu sebab yang saya dapat simpulkan setelah mengambil masa yang agak lama untuk bertanya adalah kerana sikap ibunya sendiri yang terlalu percayakan kekasih anak gadisnya sehingga tiada lagi batas antara mereka. Maka tidak hairanlah hal ini boleh berlaku.  Apabila nasi sudah menjadi bubur, bagaimana lagi maruah seorang anak gadis dapat dipertahankan?

Wahai kaum ibu dan bapa, selagi anakmu belum menjadi isteri yang sah kepada seorang lelaki, peliharalah mereka dan kawallah mereka. Berilah perhatian yang sepenuhnya kerana pada saat remaja ini mereka lebih cenderung untuk mencari cinta luar yang seolah-olah membuat mereka lebih dihargai. Walaupun pada hakikatnya cinta dari kedua ibu bapa mereka sejak dari kecil itulah yang menjadikan siapa mereka tika ini. Berilah juga pendidikan dan pendedahan yang berguna untuk anak-anak gadis kita yang tersedia ditatang bagai minyak yang penuh sedari merahnya mereka keluar dari perut kita.

Pendidikan individu

Ketika kecil kita sudah didedahkan dengan pendidikan hukum salah dan betulnya. Kita juga sudah mengerti mendekati zina itu sama sekali salah apatah lagi melakukan zina itu sendiri hukumnya adalah haram. Namun, sejauh mana keberkesanan pendidikan itu kepada seseorang individu? Jawapannya mudah. Tanya kembali kepada diri, di mana letaknya iman dan ihsan. Anggap sahaja kita sedang melihat Tuhan kita saat kita melakukan sesuatu. Kalau tidak mampu, anggaplah Tuhan itu sedang melihat kita. Pasti segala bentuk kebusukan perilaku dapat dicegah.

Remaja-remaja kita banyak terperangkap dengan cinta nafsu yang kononnya si dialah segala-galanya hingga sanggup menyerahkan hidupnya sendiri. Padahal individu yang memahami hakikat hidup pasti tidak mempunyai masa untuk disia-siakan. Dia pasti sibuk dengan pembinaan rijal dalam dirinya mahupun orang sekelilingnya. Dia juga akan sibuk mengejar cinta Allah dan rasul berbanding cinta manusia yang sementara apatah lagi manusia yang bukan halal padanya. Kerana itu pentingnya pendedahan dalam membina individu-individu Muslim bermula dari kecil lagi.

Kesimpulan

Masalah anak luar nikah dan zina bukanlah perkara baru, malah masalah ini semakin hari semakin meruncing. Namun sejauh mana kita sebagai sebahagian dari ummah ini bertanggungjawab dalam menyelesaikannya. Pilihan di tangan anda. Anda bebas berusaha secara individu, ataupun suka memilih untuk bersikap serius dengan pendidikan anak-anak sewaktu di rumah ataupun juga bersama-sama NGO ataupun pihak berwajib mencegah dan seterusnya menyelesaikan masalah ini.

Sebagai rakan doktor, tidak lupa ucapan tahniah kepada doktor-doktor di luar sana. Walaupun dalam sarat kepenatan bekerja masih boleh mampu mencari peluang untuk saling menasihati pesakit kita yang terang-terangan kita tahu masalah mereka serta bersabar dengan mereka. Semoga usaha kalian diredhai Allah. Sayangi pesakit kita ibarat mereka itu sebahagian dari keluarga kita. Sudah pasti kita benci untuk melihat keluarga kita terjerumus dalam kepincangan akhlak yang boleh membantutkan pembinaan khilafah Islam pada zaman kini.

Nukilan,

Saya O&G poster, 12/3/2015

 

 

 

Diari Masyitah: Siri Doktor Ummah in the making!

“Doktor Syitah, OT dah call. Pesakit sudah tiba di OT Kiambang. Nanti doktor beritahu MO (medical officer), semua dah bersedia,” terang staff jururawat secara terperinci kepada Masyitah.

“Terima kasih akak. Nanti saya inform balik MO,” balas Masyitah. Dia segera mencapai telefon wad dan terus menghubungi MO. Pembedahan kecemasan seperti open appendicectomy seperti ini tidak boleh ditangguh lagi. Dengan segera dia menuju ke dewan bedah Kiambang.

Itulah antara salah satu rutin Masyitah sejak memasuki posting  surgery ini. Ini merupakan posting kedua Masyitah sejak berkhidmat sebagai seorang doktor pelatih di hospital Kota Bharu. Pada dasarnya, memang waktu kerjanya bermula 7 pagi hingga 5 petang, namun hakikatnya seawal 6.30 pagi dia sudah perlu memulakan kerja dan terkadang  sehingga lewat 9 malam dia masih berada di hospital menghabiskan sisa-sisa kerjanya sejak dari pagi lagi. Lain pula perkiraan waktu jika bertugas atas panggilan ataupun oncall.

Lapan bulan sebagai houseman officer bukanlah suatu benda mudah. Ia adalah sesuatu yang sangat mencabar bagi Masyitah. Dari situ, segala ilmu yang diperoleh ketika masa belajar di sekolah perubatan akan digunakan dan dipraktikkan untuk merawat pesakitnya.

Wad zamrud hari ini seolah-olah sangat padat dan sibuk. Kemasukan pesakit ke wad yang hampir tidak putus, ditambah pula dengan beberapa pesakit tidak stabil membuatkan segala kerja bertimbun-timbun banyaknya.

“Syitah, macam mana pesakit awak tadi?” tegur Khairiah, seorang sahabat dan juga seorang doktor pelatih yang lebih senior darinya. Perkenalan mereka menjadi akrab sejak Khairiah banyak membantunya di wad perubatan 7 bulan dahulu saat Masyitah mula-mula menjadi seorang houseman officer.

“Alhamdulillah. Semuanya tadi terkawal. Intra op findings adalah perforated appendix. Perforate at the body. Pus yang kita keluarkan about 10cc.  Cuma post op ni, kita perlu sentiasa pantau vital signs setiap sejam buat masa ini,” terang Masyitah panjang lebar. Setelah itu, masing-masing kembali menyambung kerja yang masih tertangguh sebelum mereka pulang.

‘Punch out! 19:45’ Tertera di kad kuning bersaiz sederhana itu jam 7.45 petang. Dia terpaksa pulang lewat lagi hari ini.

Ketika berjalan menuju ke parkir kereta, dia sempat  membuka diari kecilnya. Diari itulah yang selalu digunakan  dalam usaha Masyitah menyusun masa dan aktiviti luarnya yang lain sejak dari dahulu lagi. Dia lebih suka menggunakan pendekatan itu supaya dia mampu mengimbangkan pelbagai urusan dalam hidupnya seharian.

‘11/12/2014- USRAH malam ini di rumah Kak Aisyah.’

Berbekas tulisan merah jambu di ruangan tepi tarikh berkenaan dan rupanya dia hampir lupa lagi!

diari-2.jpg

……………………………………………………………………………………………….

“Para sahabat Rasulullah SAW tidak pernah berhenti berjuang walaupun pelbagai ancaman musuh terpaksa mereka hadapi. Tanpa pengorbanan mereka, nikmat Islam dan perjuangan tidak akan kita kecapi hingga kini.

Kejayaan pada jalan ini tidak akan dapat direalisasikan dengan rijal yang lesu, cepat putus asa serta gagal untuk komited terhadap dakwah. Malah mereka sendiri sebenarnya yang menjadi parasit kepada keruntuhan sesebuah organisasi Islam yang mereka anggotai,” pesan Ustazah Salehah kepada anak-anak usrahnya sebelum menutup pengisian malam itu.

Seperti kebiasaan ketika menuntut di luar negara, Masyitah masih setia menghadiri usrah dan aktiviti tarbiyah yang disusun khusus murabiyah kepadanya. Cuma kadang kala, dia terpaksa berkorban meninggalkannya kerana faktor masa dan kesibukan kerja.

Mujur malam ini dia sempat mengikuti halaqah mingguannya  walaupun datang agak lewat. Murabiyahnya tidak pernah marah ataupun mengeluh. Ustazah Salehah sangat memahami tuntutan kerja Masyitah. Masyitah sangat bernasib baik malam ini kerana pengisian kali ini betul-betul  memberi peluang kepada Masyitah untuk bermuhasabah diri kembali.

Kesusahan dan tekanan kerja yang dialaminya ini hanyalah kerdil sahaja dari apa yang para sahabat telah lalui. Masyitah sedar bahawa dia perlu banyak lagi bersabar dengan cabaran kerjayanya ini. Bersedia untuk berlapang dada dengan manusia serta belajar untuk mengawal diri ketika berhadapan dengan segala keperitan. Kalau diimbas kembali kisah sahabat, perjuangan mereka itu lebih mencabar. Malah mereka pula bersedia mempertaruhkan nyawa, tenaga, usaha dan harta demi Islam.

‘Malu untuk aku mengaku umat yang mengikuti ajaran Rasulullah SAW andai perkara sekecil ini aku selalu keluhkan.

Aku hanya perlu cuba bertahan dan belajar sebanyak mungkin untuk tempoh sesingkat 2 tahun ini,’ tekad hatinya.

Tiba-tiba Aisyah menepuk bahu Masyitah dari belakang. Tersentap Masyitah seketika dari lamunannya.

“Jom makan sebelum enti pulang. Akak dah masak special untuk doktor ummah kita ni!” senyum Aisyah mengusik manja adik usrahnya itu. Aisyah ibarat kak long dalam usrahnya, merupakan seorang guru Matematik yang juga ibu kepada dua orang mujahid kecil.

Moga apa yang dibisikkan di hatinya itu mampu meniupkan roh semangat untuk terus bangkit walaupun sekadar bertatih.

Kerjaya ini adalah istimewa dan mulia. Maka tanggungjawab dan perlaksaan juga perlu istimewa malah luar biasa.

Ayuh bangkit DOKTOR UMMAH!

 

 

nukilan dari hati untuk hati…

:)

Sajak: Buatku, Doktor Muda! (For me, junior doctor!)

Alhamdulillah… hari ini genap 2 bulan menjadi seorang doktor muda yang terasa macam sangat lama sudah. Lama tidak menulis melalui hati. T.T

 

cropped-dsc_0555.jpg

Buatku, Doktor Muda!

 

Aduhai doktor muda…

Wajib bersyukur kerana engkau masih bernafas walau dalam jiwa seorang yang kerdil dengan ilmunya,

masih bertatih dalam gerak langkah kerjanya,

dan juga masih buntu tanpa tongkat berjalan menyelesaikan masalah di hadapannya…

 

­Sudah berapa ramai manusia beralih alam di depannya?

Yang paling penting bagaimana seorang doktor muda ini menghadapi kematian tanpa rasa yang luar biasa.

Seolah telah kalis dari peluru yang menghentam baju besi seorang sarjan.

 

Kali ini,

sudah berapa ramai doktor muda ini berjumpa dengan manusia?

Mungkin sahaja dari berbagai situasi dan akhlaknya.

Bermula dari seorang yang mengerti apa itu ucapan ‘terima kasih’ hingga kepada seorang yang sudah hilang pertimbangan lalu mengherdik mudah kepadanya.

 

Doktor muda…

Berapa banyak lunyai saluran darah engkau kerjakan?

Berapa banyak radiasi telah disumbangkan?

Berapa juta molekul kimia telah engkau tanamkan dalam setiap inci sel yang bernyawa di depanmu?

Berapa kali juga kegagalan teknik telah engkau lakukan pada lemahnya insan yang memerlukan pertolongan di hadapanmu?

 

Adakah juga wajahmu bisa menenangkan jiwa yang hadir mengharapkan suatu keajaiban?

Ataupun engkau hanya sedekahkan senyuman cukamu yang cukup masam dek penatnya memikul bebanan kerjamu?

Sejauh mana ikhlasmu terhadap mereka yang telah menyerahkan seluruh kepercayaannya kepadamu…

 

Aduhai doktor muda… berat sungguh amanahmu.

Bertahan sungguh emosi dan fizikalmu!

Namun, andai tersilap langkah itu, sanggupkah engkau menjawab di hadapan Tuhanmu kelak?

Masihkah berani engkau menghadapi situasi ini?

Apakah engkau mula merasa tersilap memilih jalan yang ada ini?

 

Tiada yang tidak betul pada jalan ini.

Puncanya hanyalah dari dirimu sendiri doktor muda!

Engkau masih menidakkan takdir yang meletakkanmu di sini.

Malah engkau juga suka bercaturan menerima amanah Tuhan.

Di mana Dia dihatimu saat engkau merasa perit memenuhkan amanahNya?

Di mana Dia di ingatanmu tika penatnya engkau menghadapi ujian itu?

 

Doktor muda… engkau sudah berubah!

Engkau lebih memilih dunia dari natijahnya!

Engkau lebih takutkan seorang hamba yang Dia ciptakan berbanding Penciptanya sendiri.

Engkau juga gagal meletakkan amanah seharianmu itu adalah ibadat sebenar terhadap Tuhanmu.

 

Ketahuilah doktor muda…

hati yang redha adalah kunci ketenangan,

emosi yang stabil itu sumber kebahagiaan,

semangat yang kuat adalah pengukuh tunjang kebangkitan.

 

Berubahlah… Jangan sesekali lupa Tuhan!

Kerana Tuhan itu ada di setiap denyutan kekuatan yang engkau sendiri perlu ciptakan.

 

 

Menggalilah di paras terdalam…

Siri 1: How To Stop Worrying And Start Living (versi Melayu)

DSC_0132 - Copy

Foto di Adelaide 2012

Bagaimana Bermula?

Beberapa muka surat pengenalan kepada buku ‘HOW TO STOP WORRYING AND START LIVING’ tulisan oleh Dale Carnegie terjemahan bahasa Melayunya oleh Saudara Fakharoll telah menyatakan 9 langkah bagaimana mahu memanfaatkan buku ini dengan sebaiknya. Saya hanya mahu berkongsi beberapa langkah dari 9 langkah yang disenaraikan. Salah satu daripadanya adalah anda ataupun saya perlu memiliki keinginanan yang mendalam untuk belajar dan bersungguh-sungguh mengatasi ketakutan, serta bersemangat memulakan kehidupan baru. Kalau tanpa semangat dan keinginan, buku ini tidak mampu membantu banyak. Selain itu, pembaca juga disarankan untuk kerap berhenti dan berfikir sejenak sama ada semasa pembacaan ataupun setelah berakhirnya sesebuah bab.

Dan di sini saya sekarang, menulis untuk diceritakan dan dikongsikan tentang apa yang saya rasa terhadap diri saya selepas membaca buku ini. Mungkin pembacaan saya tidaklah semantap insan yang telah pun habis membaca buku ini dan telah selesai menganalisanya. Namun, suka saya ceritakan dalam ayat yang lebih ringkas dan mudah beserta pengalaman dari diri saya sendiri.

Sejujurnya jarang bagi saya mendedahkan diri saya dengan buku berunsur motivasi seperti ini. Mengapa saya begitu berani dan merasakan saya perlu memiliki buku ini?

Sehari sebelum saya memiliki buku ini, fikiran saya banyak tertumpu pada kisah lalu dan saya sering bertanyakan kepada diri ‘Bagaimana untuk menghadapi hari mendatang tanpa rasa risau dan gelisah?’ dan persoalan ini telah saya lontarkan kepada sahabat saya melalui mesej pesanan ringkas. Dan dia membalas dengan suatu persoalan kepada saya, ‘Cuba tanya diri, kenapa adanya rasa takut? Kita perlu tahu sebab dan melaluinya cari cara untuk mengatasi masalah ketakutan itu.’

Persoalan yang timbul itu merupakan salah satu titik tolak kepadanya, selain mesej ringkas yang dibalas oleh sahabat saya. Itulah yang mendorong saya untuk cuba  mencari punca dan penyelesaian kepada permasalahan yang berada dalam fikiran saya dan Allah menggerakkan hati saya untuk memiliki buku ini.

FAKTA ASAS KEBIMBANGAN

Bab Pertama : Hidup untuk Hari Ini Sahaja

Memulakan bab pertama dengan tajuk yang agak berbeza. Hidup untuk hari ini sahaja? Adakah yang dimaksudkan oleh buku ini adalah kita perlu terus meninggalkan kenangan dan juga  langsung tidak perlu berfikir akan masa depan? Pastinya itu bukan maksudnya. Sir William Osler adalah contoh yang ditonjolkan dalam buku ini. Beliau menggunakan prinsip ini untuk meneruskan hidupnya. Sebelum ini, beliau sangat takut akan keputusan akhir peperiksaannya dan selalu membayangkan bagaimana untuk dia meneruskan kehidupan nanti seandainya dia gagal untuk menjadi seorang doktor.

Tetapi prinsip ini telah mengubahnya menjadi seorang yang sangat hebat seterusnya menjadi pengelola sekolah perubatan yang terkenal  di dunia iaitu Johns Hopkins School of Medicine. Beliau mengajar kita untuk menutup fikiran dari kehidupan silam kerana terperangkap di dalamnya hanyalah boleh membawa kepada kebinasaan. Di samping itu, beliau juga mengajar untuk menganggap masa hadapan bermula hari ini dan hari menyelamatkan manusia juga bermula sekarang. Beliau juga tidak lupa berpesan untuk memulakan hari dengan berdoa kepada Tuhan agar memudahkan rezeki.

Andai Sir William Osler yang bukan beragama Islam mampu diberi contoh oleh Dale Carnegie dalam buku ini, mengapa tidak kita, umat Nabi Muhammad yang mulia. Dilahirkan untuk memegang amanah Allah yang hebat. Bagi saya, prinsip ini juga boleh dipraktikkan dalam kehidupan kita seharian. Cuba kita renungi bagaimana mungkin seorang mukmin yang terlampau terikat dengan masa lampaunya yang kelam dan seterusnya menghalangnya untuk berjaya, boleh mentadbir  dan membuat perubahan pada dunia? Bagaimana juga seorang  mukmin yang terlampau takut dan risau akan masa hadapannya  mampu merealisasikan ustaziatul alam?

“…Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri…” (Ar-Rad’; ayat 11)

Saya juga seorang yang takut menghadapi perkara baru dan saya juga seorang yang sukar melupakan perkara silam. Terkadang perkara itu mampu mengganggu aktiviti seharian saya. Orang yang rapat dengan saya akan memahami situasi saya. Namun setelah didedahkan dengan buku ini, saya berharap saya boleh melakukan perubahan dalam diri saya. InsyaAllah.

“HIDUP UNTUK HARI INI SAHAJA!”

Saya akan cuba berhenti untuk takut dan risau. Bernafas seperti hidup saya hanya punya hari ini sahaja. Memanfaatkan 24 jam sehari dengan sepenuh hati tanpa menangguh sebarang kerja supaya hari ini lebih baik dari semalam, kerana esok belum tentu saya masih di sini. Tinggalkan kenangan yang kelam kerana ia mampu membinasakan diri dan membebankan jiwa. Belajar untuk bersyukur kepada Allah SWT sentiasa kerana peristiwa semalam yang mengajar kita untuk kuat hari ini. Misi membantu manusia bermula sekarang! Misi itu misi dakwah! Misi itu misi tarbiyah! Misi itu misi mencapai redha Allah dalam setiap apa yang dilakukan… tidak kira kerjaya, keluarga ataupun apa sahaja.

Sekadar perkongsian santai dari orang yang tidak sempurna.

Akan bersambung… :)

Murobbi Hebat, Lahirkan Rijal Berjiwa Kental

DSC_0539

Hidup ini bukanlah sekadar picisan yang kita anggapkan apa yang kita lakukan tidak memberi kesan kepada insan lain disekeliling kita. Realitinya, kesan yang diterima sekeliling adalah besar dan berbekas kepada mereka. Sikap baik akan membuahkan kesejahteraan dan juga contoh teladan manakala sikap buruk akan berlaku sebaliknya. Begitu juga sikap sang pendidik kepada insan yang dididiknya. Pendidik harus lebih terbaik dalam melaksanakan sesuatu amal ataupun kerja, barulah anak didiknya juga akan terbias dengan apa yang dilakukan oleh pendidik mereka.

Konteks yang saya ingin bawakan ini adalah perhubung kaitan antara murabbi dan mutarabbinya. Bagaimana seorang murabbi mendambakan mutarabbinya untuk bergiat aktif sedangkan murabbinya sendiri leka, lemau dan malas dalam beramal. Ini hanyalah dipanggil anganan yang berpanjangan. Ia  hinggakan boleh membawa kepada keruntuhan sesebuah institusi jemaah. Bata yang disusun itu tidaklah sekuat dan serapi yang disangkakan untuk membina sebuah bangunan yang tersegam indah.

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” (61;4)

Membela agama Allah tidak mudah. Ia memerlukan rijal yang kuat dan hebat di dalam tarbiyahnya. Kelahiran rijal-rijal hebat ini adalah wajib dari tangan-tangan murabbi yang hebat juga. Mana mungkin kemenangan yang Allah bagi itu mudah diperolehi, kerana harga sebuah kemenangan agung adalah mahal. Lebih-lebih lagi bila berkait dengan kejayaan aqidah, kemenangan ad-deen keseluruhannya. Pengorbanannya perlulah besar diiringi dengan amalnya yang bergerak pantas.

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta-benda mereka dengan (balasan), bahawa mereka akan beroleh syurga (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh…” (9; 111)

DSC_0002

Sirah telah membuktikan kejayaan ini. Dengan melihat kepada pembentukan rijal di zaman Rasulullah SAW sudah cukup membuktikan segalanya. Sahabat yang ditarbiyah oleh Rasulullah SAW mampu menggegarkan dunia. Kepimpinan mereka melakar agung dalam sejarah bermulanya pembukaan  empayar Islam. Akhlak dan amal adalah terbias dari hasil didikan murabbi hebat ini, Rasulullah SAW.

Hisyam bin Amir pernah bertanya kepada Aisyah RA tentang akhlak Rasulullah SAW. Aisyah menjawab, “Akhlak Nabi SAW adalah Al-Quran.” (HR Muslim).

Sudah menjadi tanggungjawab seorang murabbi mencorak dan membentuk mutarrabinya mengikut acuan Islam. Murabbi adalah seorang sahabat, kakak, guru dan juga boleh menjadi seorang ibu. Dari situ, segala akhlak, amal dan ilmunya adalah penting untuk dijaga agar menjadi qudwah kepada anak didiknya di samping segala sikap yang diamalkan olehnya adalah terbias kepada kejayaannya membentuk mutarabbinya menjadi penerus generasi dakwah.

Umat Nabi Muhammad SAW adalah umat yang hebat. Beza kita dengan umat nabi terdahulu adalah kerja kita yang mewarisi kerja para nabi, yakni menyeru iaitu berdakwah.

“Kalian adalah sebaik-baik umat yang di lahirkan bagi manusia, kalian menyuruh (berbuat) kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dan kalian beriman kepada Allah.” (3; 110)

Renungilah kata-kata tokoh ilmuan Islam ini,

Ibnu Qayyim menyatakan bahwa Nabi Muhammad SAW memadukan takwa kepada Allah dan sifat-sifat luhur. Takwa kepada Allah SWT dapat memperbaiki hubungan antara seorang hamba dan Tuhannya, sedangkan akhlak mulia dapat memperbaiki hubungannya dengan sesama makhluk Allah SWT. Jadi, takwa kepada Allah SWT akan melahirkan cinta seseorang kepada-Nya dan akhlak mulia dapat menarik cinta manusia kepadanya.

Buat para duat, pelihara akhlakmu, jagailah amalmu, pertingkatkanlah ilmumu serta tajamkan fikrahmu agar insan yang engkau didik itu bakal menjadi batu-bata yang tersusun, tersegam utuh dalam membina ketamadunan Islam kelak. Dakwah dan tarbiyah perlukan insan yang serius untuk merealisasikannya. Bukan hanya pada kata-kata dan semangat, namun pada gerak kerjamu dalam pembinaannya. Besarkan jiwa dan kecilkan masalahmu kerana masalah umat itu lebih besar yang memerlukan insan berjiwa kental untuk menyelesaikannya.

Antara Aku dan Tuhan

Engkau bilang engkau punya Tuhan,
namun lagakmu ibarat engkau tiada Dia.
 
Engkau ukir sendiri dosamu,
hingga bertimbun.
Namun masih malas meminta ampun.
 
Makhluk apa engkau ini?
Engkau kata engkau hamba!
Hamba apa kalau hanya pada nama semata.
 
Engkau cari manusia saat gembira,
bila sengsara baru terhegeh mengadu padaNya.
 
Pandangan manusia engkau jadikan ukuran,
Redha Tuhan engkau abaikan!
 
Engkau sendiri ciptakan hijab,
Masih berani engkau katakan,
engkau punya hubungan dengan Tuhan?
 
 
Nur Akmal
(4.33am/ Bangalore)

Diari Masyitah: Siri Telan Marah

angry-birds-fxp-co-il-805129

“Sakinah, cuba bawak bersabar sikit! Adalah tu alasan dia. Dah dia dah decide macam tu. Kau ni, kerja nak marah orang je.” Nasihat Dalila.

Kecoh seketika dari sudut dewan kuliah mereka sebelum menunggu pensyarah datang. Kelihatan Sakinah cuba menahan marah, dengan mukanya yang agak sedikit bengis. Bila-bila sahaja guruh ataupun kilat boleh muncul. Dari jauh Masyitah lihat, tidak berani dia ingin mendekati kedua sahabatnya itu. Jangan dijolok sarang tebuah andai takut disengatnya.

Kelas satu jam itu berakhir selepas soalan dari Wardah dijawab oleh pensyarah yang juga doktor Medicine di hospital Masyitah. Wardah merupakan sahabat yang suka bertanya di dalam kelasnya, yang juga seorang pelajar pintar di hospitalnya. Selepas pensyarahnya keluar dari dewan kuliah, Masyitah sempat menoleh ke arah Sakinah dan Dalila di barisan belakang, beza empat barisan darinya. Sakinah perasan Masyitah sedang melihat ke arah dia. Saat itu, Masyitah senyum dan Sakinah sempat membalas senyumannya. Teringat dia peristiwa sebelum kelas bermula. Dia tidak mahu campur urusan Sakinah dan Dalila. Mungkin ada sebab yang membuatkan Sakinah marah. Sakinah seorang sahabat yang periang dalam kelasnya. Namun, sikap kurang penyabar dan pemarahnya membuatkan ramai yang tidak suka cari pasal dengannya. Hanya Dalila yang mampu bertahan dengan sikapnya itu. Dalila pula seorang yang profesional dengan kerjanya.  Dia juga terkenal sebagai seorang yang tegas dan bertanggungjawab.

Jam menunjukkan pukul 12 tengah hari. Sebelum Masyitah melangkah kaki keluar dari dewan kuliahnya, dia terdengar ada orang memanggil namanya. Rupa-rupanya panggilan itu adalah dari Sakinah. “Jom Syitah! kita lunch sekali. Kita bertiga. Awak, saya dan Dalila.” Masyitah agak rapat dengan Sakinah dan Dalila. Berbanding dengan orang lain, Sakinah dan Dalila seolah-olah sangat menghormati Masyitah. Mana tidaknya, sikap Masyitah yang senang berkawan dan peramah sangat disenangi oleh ramai sahabatnya.

“Ok, saya takda masalah. Tapi tak nak la makan kat tempat yang jauh. Area-area ni boleh?” Pinta Masyitah.

“Ok! boleh je. Kita makan kat kedai depan tu la. Saya tahu awak tak suka pegi tempat jauh, takot terlambat solat Zohor kan? Hehe. Kali ni biar saya yang belanja!” Sempat lagi Sakinah bergurau dengan Masyitah, kerana dia kenal dan tahu prinsip Masyitah. Mungkin itu juga adalah salah satu sebab Masyitah dihormati, dihormati kerana prinsipnya.

“Cepat la wei… Aku lapar ni!” ngomel Dalila. Terus dia menarik tangan Sakinah. Masyitah hanya mengikut dan tersenyum dengan keletah Dalila.

“Adik, akak nak 2 nasi goreng pattaya dan 1 nasi goreng kampung. Dan 3 gelas kopi sejuk!” Dalila memesan makanan bagi pihak mereka.

“Sementara tunggu makanan sampai ni, saya ni nak bagitau hajat besar kat Syitah. Sebab tu juga la saya ajak Syitah makan ni.” Sakinah memulakan perbualan.

“Ehemmm… besarnya hajat kau ni Sakinah! Sampai baik hati sangat nak belanja kami makan.” Tambah Dalila. Masyitah hanya tersenyum. Alhamdulillah rezeki dia murah hari ini. Siap ada orang belanja makan lagi.

“Macam ni, saya tau pagi tadi awak perasan saya marah-marah. Mesti awak rasa pelikkan? Saya ni kerja asyik marah je. Masalah bukan besar pun. Tapi melenting nombor satu.” Keluh Sakinah.

“Tau takpe… dah mereka dah decidekan macam tu. Kau buatlah bahagian kau. Lagipun, benda bukan susah pun. Kau pun faham je part tu. Buat apa lah nak melenting sangat. Buat penat je!” Tambah Dalila.

“Tapi diorang tak cuba bincang dengan aku. Aku paling pantang orang buat don’t know je. Lepas tu bagi macam tu je kat aku!” Ngomel Sakinah.

“Alah, mereka buat macam tu pun sebab tak dapat nak contact kau semalam. Doktor nak cepat decidekan sape amik part tu. So, mereka tahu kau pakar bahagian tu. Diorang kasi la. Jangan la emo terlebih. Semua orang tahu perangai kau. Kalau tak kerana doktor nak cepat, takda la mereka nak cari pasal dengan kau. Diorang pun main bahagi je part lain sesama diorang. Takda la pulak yang tak setuju. Semua redha je aku tengok. Sabar la sikit!” Terang Dalila.

“Ok, Ok! Aku ok je. Tapi aku memang macam tu. Cepat sangat melentingnya. Hehe. Jangan takut eh Masyitah.” Sakinah yang melenting marah pagi tadi telah kembali seperti biasa.

“So, teruskan dengan hajat kau tadi, Kinah.” Dalila mencelah.

“Haa… Bismillah. Macam ni Masyitah, boleh bagi sedikit-sebanyak tips dan nasihat bagaimana la nak tahan marah ni? hehe. Tu je hajat besar saya. Segan eh. Tapi saya tahu, hanya awak yang boleh tolong sedikit sebanyak.” Sakinah memberitahu hajat di hatinya.

“InsyaAllah… Saya ni bukannya hebat dalam menasihati. Sikit-skit boleh la.” Masyitah memulakan bicara. “Sebelum saya panjangkan lagi, saya nak awak hayati maksud dari hadis ini,

Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah telah bersabda: “Bukanlah orang yang kuat itu orang yang selalu menumpaskan orang lain, sesungguhnya orang yang kuat itu adalah orang yang dapat mengawal diri ketika marah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)” Tambah Masyitah.

“Jadi, orang kuat itu adalah orang yang menahan marahnya? Tapi, bukan ke kita akan dilihat lemah kalau buat tak tau je?” celah Sakinah. Dalila hanya khusyuk mendengar.

“Tak lah. Kata-kata ini dari Rasulullah saw dan apa yang Nabi kita cakap, mesti ada sebab dan hikmahnya besar. Bagi saya, kalau kita tahan marah, hati kita lagi tenang. Dan sebenarnya Allah menciptakan marah itu dari api dan dijadikan salah satu tabiat kepada makhluk manusia. Dan segala api kemarahan itu bermula dari hati. Kalau kita gagal mengawal marah, seolah-olah kita juga gagal mengawal apa yang ada dalam hati kita. Marah akan menjadi kita orang yang suka berdendam dan menjadikan kita suka melihat jatuhnya orang yang kita marahi itu. Dan sikap melihat orang lain jatuh bukanlah sikap seorang insan yang berakhlak mulia.” terang Masyitah.

Sedang khusyuk Masyitah bercakap, makanan yang mereka pesan tadi pun tiba.

Masyitah menyambung lagi perbualan mereka sambil mereka makan. “Menahan marah ni besar ganjarannya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dari Abi Ad-darda dia berkata, wahai Rasulullah, tunjukkanlah saya sesuatu amalan yang boleh menyebabkan saya dapat masuk syurga. Rasulullah SAW bersabda: Jangan marah nescaya engkau akan dapat masuk syurga.” (riwayat At-Tabrani) Tengok kepada hadis ni juga, sangat-sangatlah dititik berat akan hal menahan marah. Betapa penting akhlak menahan marah itu sendiri. Bak kata orang Arab, La Taghdab yang bermaksud Jangan Marah.” Masyitah tidak putus berkongsi apa yang dia tahu berkenaan tabiat marah. Dia malah menambah lagi beberapa hadis berkenaan pentingnya menahan marah.

“Allah, sebelum ni banyak saya tak tau. Betapa penting rupanya menahan marah. Kena banyak bersabar lagi ni. Astaghfirullah.” kesal Sakinah.

“Aku pun baru tahu banyak benda. Rupanya banyak juga hadis yang berkisar tentang tabiat marah ni. Astaghfirullah.” Dalila pun turut sama beristighfar, mengingat kembali, dia juga tidak terlepas dari tabiat memarahi orang lain.

“InsyaAllah, saya pun sama. Kadang-kadang terlepas juga marah kat orang lain. Sama-samalah kita saling berpesan dan mengingati. Kalau tak boleh tahan marah sangat, kita cuba telan marah tu!” Masyitah juga sama-sama muhasabah akan dirinya juga.

Mereka diam seketika, menghabiskan baki makanan dalam pinggan dan meneguk air kopi sejuk untuk membasahkan tekak. Seusainya makan, mereka kembali ke hospital. Masa rehat tengah hari juga hampir tamat. Sebelum sesi kelas seterusnya bermula, mereka sempat untuk solat Zohor bersama-sama. Saat bersalaman, Sakinah sempat berbisik kepada Masyitah, “Terima kasih Syitah untuk peringatan tadi…”

Masyitah membalas, “Sama-sama. Semoga kita saling menguatkan.”

Sebelum keluar dari surau hospital, Syitah sempat mencapai button yang dilekatkan di pencil casenya. Dia menghadiahkan button itu kepada Sakinah. Jelas tertulis pada button itu, ‘La taghdab!’ dengan gambar Angry Bird. Lantas, Sakinah tersenyum panjang.

‘Moga awak kuat, Sakinah!’ monolog Syitah sendiri.

IMG-20130903-WA0001-crop

#cerita ini hanya rekaan  :)

Sedikit nota kecil berkaitan marah.

  1. Rasulullah SAW bersabda: “Dari ‘Atiah r.a, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan syaitan itu diciptakan daripada api dan sesungguhnya api itu terpadam dengan air, maka apabila salah seorang dari kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk.” (riwayat Abu Daud)
  2. Dari Abu Hurairah r.a bahawa ada seorang lelaki telah berkata kepada Nabi Muhammad SAW: “Berpesanlah kepadaku”, lalu baginda bersabda: “Jangan marah.” Orang itu mengulangi lagi beberapa kali minta dipesani, maka baginda masih tetap bersabda: “Jangan marah.” (riwayat Bukhari)
  3. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Sekiranya seseorang daripada kamu marah sedang dia berdiri hendaklah dia duduk, sekiranya hilang kemarahan daripadanya, sekiranya tidak (hilang) maka hendaklah dia baring.” (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Dawud)